“Adni, kau kenapa menangis ni??” Tangan aku pantas
berlari mengusap bahu gadis di sisiku itu.
Aku tatap wajahnya. Matanya merah dan sembab, sisa air
mata masih kelihatan di pipi montel itu, bibirnya terkumat-kamit menyumpah
seranah entah siapa.
“Aku benci!! Sial!!“
Langsung aku tersentak apabila Adni menjerit tiba-tiba.
Aku mengalihkan pandangan ke sekelilingku. Manusia yang lalu di kiri kanan
hanya menoleh sesaat dua ke arah Adni. Tidak
kurang pula yang melemparkan senyum sinis. Rata-rata manusia tersebut seolah
tidak peduli.
Aku alihkan
pandangan kembali ke arah Adni. Nafasnya tertahan-tahan sebelum cecair jernih
kembali menghambur keluar. Aku cuma membisu. Membiarkan dia menangis
sepuas-puasnya. Biar Adni membuang semua emosinya yang terzahir dengan air mata.
Kata orang, kaum hawa itu lemah. Terlalu lemah. Seringkali menangis.
Asal sedih sahaja menangis. Jika geram, juga menangis. Padahal orang yang
berkata-kata itu tidak tahu; air mata sumber kekuatan perempuan. Segala emosi dan beban mereka
terkandung dalam air mata. Sinonimnya perempuan dengan air mata dan lemah. Aku
tersengih sendiri. Lucu.
Ah, seperti aku juga yang kadangkala menangisi nasib
sendiri. Aku rasa puas
setelah menangis. Pundakku terasa ringan. Memanglah menangis tidak akan bisa
menyelesaikan masalah. Tapi yang jelas, terasa hilang segala lelah walau cuma seketika.
Aku pandang Adni sekilas lalu sebelum menebarkan pandangan
ke arah tasik di hadapanku. Aku tersenyum.
Tidak. Air mata
bukan tanda perempuan lemah. Tetapi tanda mereka sudah bertahan terlalu lama.
Terlalu cekal. Terlalu kuat.
Mataku
beralih ke arah satu sudut lain. Seorang lelaki berbaju merah sedang bersandar
di sebatang pohon ara. Bahunya bergerak naik turun perlahan. Wajahnya terhalang
oleh tangan kanan yang menekup dahinya, sementara tangan kirinya pula setia di
pipi. Duduknya kaku di atas rumput yang sudah mula bertukar warna keperangan.
Aku mengamati
lelaki berbaju merah itu lebih lama. Aku tersenyum lagi. Kali ini
senyumanku lebih lebar.
Nah ternyata, kaum adam juga menangis.
:)
:)